Kami menawarkan perkhidmatan Guaman Hartanah yang menyeluruh bagi setiap keperluan pelanggan. Antara contoh perkhidmatan kami adalah seperti berikut:
1. Perjanjian Jual Beli
Perjanjian jual beli adalah satu dokumen kontrak penting yang mengandungi segala maklumat, terma dan syarat berkaitan penjualan dan pembelian sesebuah hartanah di antara penjual dan pembeli. Perjanjian Jual Beli mestilah dibuat secara jelas dan menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh kedua-dua pihak untuk melindungi hak kedua-dua pihak pada masa akan datang. Jika salah seorang daripada pihak-pihak melanggar sebarang terma dan syarat dalam Perjanjian Jual Beli yang telah dimeterai, pihak yang tertindas boleh membawa perkara tersebut ke muka pengadilan.
2. Perjanjian Pembiayaan/ Pinjaman
Perjanjian pembiayaan merujuk kepada perjanjian di antara dua pihak di mana satu pihak menyediakan sumber kewangan kepada pihak yang lain untuk membantu membiayai kewangan pihak kedua. Perjanjian ini menggariskan syarat-syarat dan terma-terma yang perlu dipatuhi oleh kedua-dua pihak, termasuk jumlah pembiayaan, tempoh pembayaran balik, kadar faedah dan lain-lain. Bagi pihak yang memberi pembiayaan, ia perlu memastikan bahawa pihak yang menerima pembiayaan akan menggunakannya untuk tujuan yang telah disepakati dan akan membayar semula mengikut jadual pembayaran yang telah ditetapkan. Sebaliknya, pihak yang menerima pembiayaan perlu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dan memberi jaminan bahawa pembiayaan tersebut akan digunakan dengan berhemat.
3. Perjanjian Sewa Beli
Perjanjian sewa beli adalah dokumen kontrak khusus bagi sesebuah hartanah di antara penyewa dan pemilik hartanah. Dalam perjanjian ini, terdapat maklumat yang telah disepakati oleh kedua-dua pihak iaitu mengenai harga sewa, jumlah pembayaran dan jangka waktu sewa. Pada akhir jangka waktu sewa, penyewa boleh memilih untuk membeli hartanah tersebut dengan membayar baki harga yang telah disepakati atau sebaliknya.
4. Penyempurnaan Pindahmilik (POT)
Penyempurnaan pindahmilik adalah proses peralihan hakmilik bagi sesebuah hartanah daripada penjual (Pemaju) kepada pembeli. Hal ini berlaku apabila sesebuah hartanah masih dipegang dibawah hakmilik induk (master title) ketika pembeli membeli hartanah tersebut. Pihak Pemaju perlu memberi makluman kepada pembeli unit apabila hakmilik individu atau strata di atas nama Pemaju telah dikeluarkan oleh pejabat tanah. Oleh itu, pembeli dinasihatkan untuk membuat penyempurnaan pindahmilik di pejabat tanah untuk menyempurnakan pendaftaran nama serta melindungi kepentingan pembeli sebagai pemilik kepada sesuatu unit tersebut.
5. Penyempurnaan Gadaian (POC)
Penyempurnaan gadaian adalah proses yang dibuat bersama-sama penyempurnaan pindahmilik. Kebiasaannya, pembeli akan membuat pembiayaan dari institusi kewangan untuk membeli sesebuah hartanah. Sebagai balasan kepada pembiayaan yang disediakan, hakmilik atau geran hartanah mesti mengandungi nama institusi kewangan tersebut sebagai pemegang gadaian hartanah. Ia berfungsi sebagai cagaran atau jaminan bagi pihak institusi kewangan. Jika peminjam gagal membayar ansuran bulanan pembiayaan, pihak institusi kewangan mempunyai kuasa secara automatik untuk menjual hartanah tersebut bagi mendapatkan kembali pembiayaan ansuran yang telah tertunggak.
6. Melepaskan Gadaian / Pengeluaran Geran Individu @ Strata
Melepaskan gadaian adalah proses dimana nama instiotusi kewangan akan dikeluarkan dari dalam hakmilik atau geran sesebuah hartanah. Hal ini kerana pembeli yang menggunakan pembiayaan institusi kewangan untuk membeli sesebuah hartanah telah membuat pembayaran penuh bagi pembiayaan tersebut. Apabila selesai membuat pembayaran penuh, pembeli perlu memaklumkan kepada pihak institusi kewangan untuk membuat perlepasan gadaian. Hal ini supaya pihak institusi kewangan boleh memulangkan kembali dokumen-dokumen yang berkaitan kepada pembeli. Setelah itu, pembeli boleh membuat pendaftaran melepaskan gadaian di pejabat tanah untuk mengeluarkan nama institusi kewangan sebagai pencagar pembiayaan.
7. Permohonan Kaveat / Melepaskan Kaveat
Permohonan kaveat atau dikenali sebagai ‘masuk kaveat’ bertujuan menghalang sebarang transaksi pendaftaran di bawah Kanun Tanah Negara bagi melindungi hak pihak-pihak yang mempunyai kepentingan terhadap sesebuah hartanah. Apabila kaveat telah didaftarkan di pejabat tanah, sebarang urusan jual beli atau pemindahan hakmilik tanpa kebenaran pihak yang memasukkan kaveat tidak boleh diteruskan. Permohonan masuk kaveat juga dapat mengelakkan sebarang penipuan atau penjualan sesebuah hartanah secara haram serta tidak mengikut undang-undang. Sebaliknya, melepaskan kaveat berlaku apabila kaveat yang dimasukkan sebelum ini didaftarkan keluar di pejabat tanah. Oleh itu, sebarang urusan jual beli atau pemindahan hakmilik sesebuah hartanah kini boleh diteruskan di pejabat tanah.
8. Permohonan Geran Baru / Hilang / Rosak
Geran atau hakmilik sesebuah hartanah adalah satu dokumen penting kerana ia membuktikan pemilikan seseorang individu terhadap hartanah tersebut. Selain itu, sebarang transaksi pendaftaran di pejabat tanah juga perlu melibatkan hakmilik asal sesebuah hartanah. Tanpa hakmilik asal yang sempurna, pendaftaran di pejabat tanah tidak dapat diteruskan. Pejabat tanah juga tidak akan menerima hakmilik yang telah rosak seperti contoh, di-laminate oleh pemilik hartanah. Oleh itu, pemilik hartanah tersebut perlu membuat permohonan geran baru atau hilang atau rosak di pejabat tanah supaya satu hakmilik baharu akan dikeluarkan oleh pejabat tanah dengan kos yang tertentu.